TITLE

DESCRIPTION

10 Tips Melancong di Dalam Negara

Bila
bercakap mengenai 1Malaysia, kita sering mengaitkannya dengan makanan, bangsa,
pendidikan atau aktiviti kegemaran semua iaitu membeli-belah. Namun, tidak
kurang juga ada yang minat melancong. Malah statistik Jabatan Pelancongan
negara menunjukkan rakyat Malaysia membelanjakan sekitar RM41.2 billion pada
2014 untuk melancong dalam negara sahaja!
Ternyata penduduk negara ini gemar melancong
ditambah lagi dengan kemunculan pelbagai kempen dan pesta pelancongan yang ada
setiap tahun. Tetapi, pasti ada yang tertanya-tanya bagaimana mendapatkan
percutian yang menarik dan selesa dengan perbelanjaan yang rendah. Kami
senaraikan 10 tips untuk rujukan anda.
1.
Bercuti di waktu off-peak season
Harga tempahan bilik dan penerbangan semasa
musim cuti sekolah, cuti perayaan atau hujung minggu lazimnya lebih tinggi. Ia
digelar waktu ‘peak season’ atau waktu puncak. Untuk perjalanan lebih
menguntungkan, pilih waktu bukan puncak (off-peak season). Kurang mahal malah
tidak perlu menempuhi kesesakan lalu lintas!
2. Pilih destinasi
yang kurang dikunjungi orang ramai
Destinasi tempatan juga menawarkan pelbagai
pakej menarik dengan harga berpatutan. Jika anda penggemar alam sekitar, boleh
mencuba untuk bermalam beberapa hari di Hutan Royal Belum di Gerik, Perak atau
ke Taman Negara Pahang. Ataupun pergi berenang dan menyelam di sekitar Pulau
Aur di Johor, Pulau Tenggol, Terengganu atau Pulau Bohey Dulang di Sabah.
Sedikit sebanyak kita akan membantu meningkatkan ekonomi penduduk di kawasan
ini. 

3.
Periksa waktu terbaik untuk berjalan-jalan ke destinasi ditujui
Umum mengetahui kedudukan Malaysia yang
terletak di garisan Khatulistiwa  mempunyai dua musim iaitu musim
tengkujuh dan musim panas. Musim tengkujuh kebiasaannya antara bulan November
hingga bulan Mac. Waktu ini angin yang kuat dan hujan lebat melanda pantai
timur Semenanjung negara dan sama-sekali tidak sesuai untuk aktiviti pantai.
Maka anda boleh memilih untuk bercuti di bahagian pantai barat Semenanjung
sepanjang tempoh itu.
4. Beli tiket
penerbangan selepas tengah malam
Pembelian tiket penerbangan selepas tengah
malam adalah lebih baik bukan sahaja kerana lebih sedikit orang yang melayari
laman web berkenaan, malah kadang-kala anda juga boleh mendapatkan tawaran
lebih murah. Kita perlu sedikit tabah untuk memperoleh hasil yang lebih baik,
betul tak? 
5.
Buangkan ‘cookies’ enjin carian setiap kali membuat pembelian tiket penerbangan
Tahukah anda semakin banyak rekod pencarian
anda disimpan dalam rekod ‘cookies’ enjin carian anda, semakin tinggi harga
yang akan diperolehi? Ini adalah satu muslihat yang ramai mungkin tidak sedar.
Untuk penjimatan berganda, jangan lupa bersihkan rekod ‘cookies’ anda!
6. Pembelian tiket
penerbangan paling murah antara hari Selasa dan Rabu
Ini kerana tidak ramai penumpang yang terbang
pada hari- hari berkenaan. Hari Isnin masih mengekalkan harga yang tinggi
kerana kebanyakan orang mempunyai urusan kerja di mana-mana negeri pada hari
itu. Kemudian mereka akan pulang selepas beberapa hari, kebiasaannya hari
Khamis atau Jumaat. Seterusnya hujung minggu adalah waktu puncak. 
7. Pilih tempat
penginapan yang murah
Ramai yang mahukan tempat penginapan yang
selesa untuk diri sendiri dan juga keluarga. Kini Malaysia mempunyai rangkaian
pilihan yang lebih meluas dengan harga lebih jimat. Bagi yang berkeluarga, anda
boleh memilih untuk tinggal di rumah inap (homestay). Semakin ramai yang
membuat perkhidmatan ini yang bukan sahaja selesa malah lebih murah untuk
ditinggal dalam jumlah yang ramai.
Atau bagi yang lebih
gemar melancong secara backpack, anda juga boleh menyewa di dormitori. Di sini,
anda boleh menambah kenalan dari pelbagai latar belakang, bangsa dan negara
kerana persekitarannya yang lebih terbuka. Barulah 1Malaysia! 
8. Tempah penginapan
lebih awal
Sesetengah orang bagaimanapun lebih selesa
untuk menginap di hotel berdasarkan kemudahan dan perkhidmatan yang lebih
memuaskan. Dengan kemudahan teknologi sekarang, ia lebih mudah untuk membuat
tempahan penginapan dengan lebih awal. Anda boleh memeriksa julat harga antara
satu tempat ke tempat lain di laman-laman enjin carian hotel seperti Agoda dan
Booking.com yang menawarkan banyak pilihan.
Sesetengah tempat memerlukan anda membuat
pembayaran deposit untuk menjamin tempat. Bagi yang tidak memerlukan deposit,
pastikan anda tiba di tempat penginapan ditempah pada waktu ditetapkan dan
membayar tempahan dijanjikan. Sebagai sebuah masyarakat dalam sebuah negara
yang menuju konsep negara berpendapatan tinggi, integriti setiap orang
memainkan peranan penting. Kita harus jujur,amanah dan bertanggungjawab dengan
tindakan kita supaya memudahkan pihak penginapan melakukan tugas mereka.

9.
Gunakan pengangkutan awam untuk melancong
Sekarang ini, lebih banyak pengangkutan awam
yang menghubungkan satu negeri ke negeri yang lain disediakan di seluruh
negara. Ini bermakna semakin mudah untuk kita bergerak dari satu tempat ke
tempat lain. Contohnya, kemudahan kereta api ETS terbaru yang menghubungkan
Kuala Lumpur dan Padang Besar, Perlis hanya mengambil masa kurang 5 jam. Ia
turut menyediakan kantin dan sistem televisyen untuk menemani perjalanan anda.
Bayangkan betapa selesa dan mudahnya untuk kita melancong sekarang! Tak perlu
lagi memandu selama berjam-jam ke kampung. 
10.
Cuba aktiviti masyarakat tempatan
Lain tempat, lain adat dan budaya
mereka.  Jadi inilah peluang kita untuk mencuba perkara baru dan
mempelajari budaya-budaya masyarakat setempat. Contohnya mencuba mee kolok di
Sarawak, belajar seni warisan tekat di Perak, belajar berenang seperti Bajau
Laut atau mencuba gaya hidup masyarakat Orang Asli di Pahang. Keseronokan
dialami pasti membuatkan anda tidak putus-putus ingin melancong di sekitar
negara. Pengalaman unik ini pasti tidak dilupakan! 
Jangan lupa kongsikan gambar atau pengalaman anda di laman Facebook
1Malaysia atau hashtag #1malaysia dan #cuticutimalaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Seasonal Calender

October 2018
M T W T F S S
« Sep    
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
293031  

DNAMIE LEISURE

  •   Lot T1-12, Plaza Mara Kuala Besut, Besut, Terengganu, Malaysia

  •    Pejabat: +6 960 4918

  •    Mobile: +6010 444 7423 / +6016 984 7423

  •    Email: dnamieleisure@gmail.com

HUBUNGI KAMI





© Copyright 2018 by DNAMIE Leisure & Tour Sdn Bhd. All Rights Reserved - Made With (1161129-D) KPK NO:8208